Selesa, tenang dan bahagia itu letaknya di HATI apabila sehelai kain kecil menutupi wajah
Manusia yang memilih untuk mendekati Allah dengan wasilah-wasilah kebaikan, umpama mereka menempah kebahagiaan khusus dengan Allah. Dan Allah berikan kebahagiaan itu khusus ke dalam hati-hati mereka.
Nampak kolot, tapi hati damai.
Nampak ‘mudah dibuli’ tetapi mendapat penuh penghormatan.
Nampak tak menarik, tapi menarik rahmat dari ALLAH.
BICARA NILAI
Benarlah, nilaian manusia tidak sama dengan nilaian ALLAH.
Sekeping kain itu hanya tinggal sekeping kain yang tiada nilai, kiranya dipakai bukan kerana Allah.
Dipakai kerana ikut-ikutan, atau kerana mahukan penghormatan.
Dipakai kerana mahu menjadi ustazah jadi-jadian, atau semata-mata menarik perhatian jejaka idaman.
Allah menilai hati, bukan sekeping kain.
Tetapi sekeping kain yang dipakai kerana Allah, impaknya sungguh agung melangkaui nilaian insan.
Justeru, keagungan dan nilai yang tinggi itu jangan dipersiakan...
Bersangka baiklah.
Itukan suatu amalan untuk melatih jiwa dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Bukanlah suatu kewajipan yang mesti untuk semua kaum hawa.
Sekeping kain itu juga adakala bertujuan mengelak fitnah dari mata-mata sang jejaka. Apatah lagi jika berada dalam suasana yang menggalak dan menyuburkan fitnah tersebut.
Tetapi tika berada di sisi suaminya, ia berbeza.
Tika berada di sisi bapanya, ia berbeza.
Tika berada dalam khalayak ramai tanpa ditemani suami atau bapa, ia juga berbeza.
Apa yang pasti, ia tidak menghilangkan nilai agung pada sekeping kain yang menutup muka.
Nilai itu tetap terpelihara, meskipun dengan cara yang berbeza.
Justeru kenalilah terlebih dahulu sekeping kain tersebut sebelum mengenakannya di wajah kita yang mulia. Jangan sampai kain tersebut tidak lekang di muka namun di hati kita cuma menganggapnya sebagai sekeping kain biasa.
Memakainya, biarlah bernilai ibadah.
Memakainya, biarlah bernilai solehah.
Moga-moga mujahadah kita di dunia meraih Syurga yang tinggi di akhirat sana. Ia pasti – insyaAllah – kiranya diri kita benar-benar telus dengan Yang Maha Esa.
Sekeping kain, seribu makna.
Moga kita mengerti akan nilainya.
No comments:
Post a Comment